Majlis perasmian Projek pembinaan jambatan Sungai Nibong oleh YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) telah diadakan pada 14 Mei 2022 (Sabtu) bersama-sama dengan penduduk setempat. Taklimat ringkas projek telah diberikan oleh Ir. Khairul Nizan Bin Khairudin, Pengarah JKR KESEDAR selaku Pegawai Penguasa.
Projek pembinaan jambatan Sungai Nibong bernilai RM10.17 juta melibatkan sepanjang jambatan sepanjang 237 meter dan jalan tuju sepanjang 257 meter itu sudah bermula pada mac 2022 yang lepas, projek ini dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2024.
Jambatan yang menghubungkan Kuala Balah dengan kawasan estet itu amat penting bagi kesinambungan projek dan meningkatkan sosio-ekonomi penduduk setempat serta memudahkan mereka mengeluarkan hasil getah dan kelapa sawit.
Sebelum ini penduduk yang memiliki tanah kebun di kawasan seberang sungai terpaksa menggunakan bot untuk berulang alik, namun apabila jambatan ini siap ia sekali gus memudahkan urusan pergerakan mereka khususnya kepada penduduk kampung untuk meningkatkan pendapatan mereka untuk membawa hasil daripada kebun serta memudahkan perancangan pembangunan di sekitarnya di masa akan datang.








